Monday, January 19, 2009

Cerita Akid

Akid seorang budak yang pandai dan rajin di sekolahnya. Ramai rakan-rakanya suka bermain dan berkawan dengannya. Semua guru disekolahnya juga amat suka dan sayang kepada Akid, kerana Akid selalu ringan tulang untuk membantu guru-gurunya setiap kali dia datang ke sekolah. Akid juga merupakan pelajar paling pintar disekolah itu. Setiap kali peperiksaan dia sentiasa mendapat temapat pertama didalam kelasnya. Tetapi Akid berasa susah hati dan rendah diri bila teringatkan ayahnya hanya seorang pekerja buruh binaan.
Pada suatu hari selepas pulang dari sekolah dia telah bercerita kepada emaknya disekolahnya kebanyakkan dari ayah rakan-rakannya bekerja dengan jawatan yang tinggi-tinggi. Ada yang menjadi guru, peguam, doktor, farmasi dan lain-lain lagi. Lalu Akid bertanya kepada emaknya kenapa ayahnya berkerja sebagai pekerja buruh binaan sahaja. Emaknya dengan tenang menceritakan kepada anaknya pula bahawa kerja yang dilakukan oleh ayahnya itu amat bermakna kepada ramai orang. Ini kerana kata emak Akid semua orang yang berjawatan tinggi itu boleh bercuti dari kerja mereka dan pergi melancong berminggu-minggu atau beberapa bulan.
Tetapi tidak boleh bagi pekerja buruh binaan seperti ayahnya kerana kalau dia bercuti lama-lama maka tidak adalah bangunan yang tinggi-tinggi seperti yang kita lihat didalam negara kita sekarang ini. Kerana jasa pekerja buruh binaan seperti ayah Akidlah semua bangunan yang tinggi-tinggi itu dapat dibina dan berdiri dengan megahnya. Semua rakyat dinegara ini berasa bangga kerana mempunyai bangunan tyang tertinggi didunia. Yang mana kebanyakkan dari pekerja yang membina bangunan ini terdiri dari pekerja buruh binaan seperti ayah Akid. Tanpa disedari oleh Akid dan emaknya perbualan mereka itu tadi telah didengari oleh ayah Akid yang baru balik dari kerja. Menitis air matanya kerana mendengar cerita isterinya yang bijaksana itu.
Bermula hari itu Akid tidak berasa rendah diri lagi. Sebaliknya dia berasa bangga kerana bangunan-bangunan yang tinggi dibina oleh orang-orang yang bekerja seperti ayahnya.

Sunday, January 18, 2009

MARI BERCERITA UNTUK ANAK

Saturday, January 17, 2009

3 Pemuda Mencari Ilmu

Didalam sebuah kampung tinggal 3 orang pemuda yang bernama Dan, Din Don. Mereka bercita-cita untuk pergi mengembara dan mencari ilmu diluar dari kampung mereka itu. Setelah mereka bertiga menyiapkan bekalan untuk memulakan perjalan dan memohon keizinan dari ibu bapa masing-masing merek pun memulakan perjalanan.
Setelah tiga hari tiga malam berjalan mereka berjumpa seorang tua yang sedang berjalan seorang diri. Orang tua itu bertanya kepada mereka bertiga hendak kemana. Lalu mereka pun berceritalah kepada orang tua itu, akan tujuan mereka mengembara untuk mencari ilmu. Setelah orang tua itu mengetahui tujuan mereka untuk mencari ilmu dia mencadangkan Dan, Din Don untuk memasuki sebuah gua yang terdapat di dalam sebuah hutan yang tak jauh dari situ.
Mereka bertiga setuju, lalu orang tua itu menunjukkan kepada Dan, Din, Don gua yang disebutkanya itu. Tetapi sebelum mereka memasuki gua tersebut orang tua tersebut telah berpesan bahawa dalam gua itu gelap-gelita tak ada sedikit cahaya pun yang masuk kedalam gua itu. Dan orang tua itu berpesan lagi agar mereka mengutip apa sahaja yang mereka sentuh semasa dalam gua itu nanti. Orang tua itu juga memberi mereka seorang sehelai guni untuk membawa apa sahaja yang mereka jumpa nanti.
Lalu mereka bertiga masuk ke dalam gua itu. Memang betul seperti kata orang tua itu di dalam gua itu sungguh gelap sehingga jari tangan pun tidak dapat dilihat. Mereka pun meraba-raba dalam gelap itu sambil mengingati pasan orang tua itu untuk megutip apa sahaja yang mereka sentuh.
Setelah beberapa ketika mereka mula mengutip apa sahaja yang mereka sentuh. Yang mana benda yang mereka itu keras dan berat seperti batu.Dan merupakan seorang pemuda yang malas diantara ketiga-tiga mereka itu, merasakan guni yang dipegangnya itu berat dan dia berfikir benda-benda itu semuanya batu lalu dia membuangkan kembali tanpa satu pun yang dia bawa keluar dari gua itu. Bagi Din pula, setelah dia merasakan guni yang diisinya itu berat sangat dia telah membuang separuh dan hanya separuh sahaja yang dibawanya keluar, berlainan dan Don walaupun berat tetapi kerana dia ingat tentang pesan orang tua itu dia sanggup bersusah-payah memikul guni yang diisi dengan penuh.
Setelah mereka keluar dari gua dan membawa guni masing-masing lalu berjumpa dengan orang tua tadi yang menanti mereka diluar gua itu. Lalu Oarang tua itu menyuruh mereka membuka guni masing-masing. Alangkah terkejutnya mereka, kerana pada sangkaan mereka benda yang keras dan berat itu batu tetapi sebenarnya emas dan permata yang cantik sekali. Sungguh malang bagi Dan kerana sikap malasnya tidak ada seketul emas pun yang ada dalam guni. Din bernasib baik walaupun dia telah membuang separuh tetapi dia masih mempunyai separuh guni lagi yang terdapat didalamnya emas dan permata. Yang paling beruntung ialah Don kerana dia memiliki seguni emas dan batu permata yang tak ternilai harganya. Kesihan Dan yang menangis dan kesal keatas sikapnya yang malas dan tidak mahu berusaha itu.
Kemudian orang tua itu berpesan kepada mereka bertiga begitu jugalah dalam menuntut ilmu kalau kita malas tidak satu ilmu pun yang masuk kedalam diri kita, kalau kita berusaha hanya sekerat jalan maka sedikit sajalah ilmu yang kita miliki. Melainkan jika kita berusaha bersungguh-sungguh maka banyaklah ilmu akan kita perolehi.

Friday, January 16, 2009

Cerita Untuk Anak-anakku Nasirah, Nadhirah dan Muhammad MuhAkid Nabil